NILAI
Konsep Nilai
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Masyarakat Melayu cukup mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua pembahagian cara, iaitu formal (melalui pendidikan formal di institusi pendidikan) dan tidak formal (melalui persekitaran seperti keluarga, rakan dan masyarakat).
Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Nilai-nilai tersebut cukup sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh Nusantara.
1.0 Nilai budaya atau Pandangan Hidup
Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat Melayu turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan pelbagai lagi.
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam... Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkat berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 74)
Di samping itu, pengarang Sejarah Melayu juga turut mempersembahkan kepada pembaca perihal istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
“Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan yang bertatahkan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di buntut, maka diaraklah dengan selengkap alat kerajaan dan dengan segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri...”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 300)
Selain itu, pengarang turut menggambarkan hubungan individu sesama masyarakat dalam penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat menghormati. Umpamanya, seorang rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar. Contohnya apabila mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Walau bagaimanapun, penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana tindakan tersebut dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak jadi menentang.
Sultan Melaka pada waktu itu juga sangat menghormati golongan ulama. Hal ini dapat dilihat semasa Sultan Mahmud Syah ingin berguru dengan Maulana Yusoff. Ulama tersebut tidak membenarkan Sultan Mahmud Syah datang menemuinya dengan menunggang gajah. Dengan perasaan hormat, baginda akur dengan permintaan gurunya.
Pandangan dan falsafah hidup bangsa Melayu banyak sekali diungkapkan oleh masyarakat ketika itu. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu begitu kaya dengan keindahan bahasa yang diperturunkan dalam bentuk puisi. Bentuk puisi yang dikarang adalah seperti pantun, syair dan seloka serta nyanyian. Puisi-puisi yang terdapat di dalam Sejarah Melayu mempunyai unsur-unsur tersirat yang bertujuan memuji atau sebaliknya menyindir. Misalnya, kota sepenampang di Pahang yang terbakar belum dibersihkan sisa kebakarannya. Lalu, diciptakan nyanyian oleh penduduk setempat.
Kota Pahang dimakan api,
Sampai ke tepi hampir titian,
Bukan kularang kamu berlaki,
Bukan begini perjanjian.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 239)
Kebanyakan puisi yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku. Contohnya seperti pantun di bawah,
Teluk Itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)
Pantun ini terhasil ekoran daripada peristiwa hukuman bunuh terhadap Tun Jana Khatib. Hal ini berpunca daripada perasaan iri hati Paduka Seri Maharaja terhadap beliau yang dituduh cuba menggoda Raja Perempuan dengan memperlihatkan kemahirannya menilik pohon pinang sehingga terbelah dua. Semasa beliau dibunuh, satu kejadian aneh telah berlaku iaitu darahnya menitik setitik manakala badannya ghaib.
Selain itu, turut terselit puisi berbentuk seloka. Seloka ini dihasilkan ekoran peristiwa Singapura dilanggar todak.
Carek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)
Terdapat juga puisi yang dibuat oleh masyarakat ketika itu untuk memuji golongan pembesar dan raja. Tetapi ianya disampaikan dalam bentuk nyanyian. Contohnya:
Pada suatu hari raja Maluku meminjam kuda pada Maulana Yusuf, itulah dibuat orang nyanyian:
Raja Maluku meninjam kuda,
Meminjam kuda pada Maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 180)
Di sebalik pujian, terdapat juga sindiran yang ditujukan kepada golongan pemerintah. Contohnya pantun dan seloka ini:
“Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang.”
Maka di sahut oleh bunga tanjung, katanya:
“Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada,
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.”
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
“kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab,
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 214)
Seloka dan pantun ini sebenarnya bertujuan untuk menyindir Sultan Mahmud yang ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Oleh hal yang demikian, terbuktilah bahawa puisi-puisi yang dihasilkan ini sebenarnya menggambarkan pujian atau sindiran kepada golongan pemerintah selain menggambarkan peristiwa yang berlaku.
Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi pekertinya. Hal ini telah berjaya digambarkan oleh Tun Seri Lanang dalam karyanya, Sejarah Melayu. Adat istiadat Diraja turut dimuatkan dalam karangan beliau bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-raja Melayu.
2.0 Nilai Ilmu
Ilmu merupakan salah satu unsur kehidupan intelektual terpenting. Kadar perkembangan dan penyebaran ilmu pada pandangan umum menunjukkan darjah kemajuan kesedaran sosial dan perkembangan masyarakat. Apabila ilmu kuat dan penting dalam masyarakat Melayu dan mempengaruhi kehidupan manusia, hal ini pasti tercermin di dalam penulisan pengarang. Kajian yang dilakukan ke atas sumber sejarah Melayu, khususnya sejarah Melayu Islam menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat banyak maklumat yang berkaitan dengan ilmu. Semua bahan yang dirakamkan di dalamnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
1. Istilah umum
2. Bidang ilmu
3. Para ilmuwan, karyawan, pengarang (penyalin), guru dan orang alim yang lain
4. Karya ilmiah dan buku, serta sistem pengajaran dan pelajaran
5. Unsur-unsur ilmiah / tekstologi dalam teks-teks sejarah
Dalam kategori “istilah umum”, pelbagai kata dan definisi berkaitan ilmu, pelajaran, pengajaran, karangan, daya cipta dan lain-lain dimasukkan ke dalam penulisan karya. Misalnya, ilmu, kitab, karangan, cerita, buku, membaca, mengajar, guru, mursyid, murid, intiha, konon, kabar (khabar), kaul dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut mempunyai makna yang sangat luas dan digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan intelektual. Jika diteliti dalam karya agung Sejarah Melayu, antara kosa kata yang ditemukan ialah ilmu, alkisah, kitab, cerita (ceritera), kabar (khabar), kaul, membaca, mengajar (ajar), mengarang (karang, karangan), mengaji, alim, murid dan guru.
Kebanyakan istilah umum yang terdapat dalam teks kebanyakannya berasal daripada bahasa Arab. Akan tetapi, kata-kata Arab ini sudah terserap ke dalam bahasa Melayu dan dianggap sebagai kosa kata bahasa Melayu. Melalui penggunaan kata-kata ilmiah yang pelbagai bentuk dan banyak bilangannya, hal ini dapat mencerminkan dan membuktikan bahawa pengarang dan pembaca pada masa itu mahir dalam definisi ilmiah dan juga bahasa Arab.
Bagi kategori bidang ilmu pula, dalam teks-teks karya agung ada disebutkan beberapa bidang ilmu. Dalam Sejarah Melayu, terkandung beberapa tulisan tentang ilmu falsafah (didaktik, tasawuf, akhlak), ilmu agama (fardhu ain, ilmu tafsir, ilmu tilawah, ilmu usuludin), ilmu sejarah, ilmu fiqah (syariah, ilmu hukum), ilmu bahasa (etimologi, saraf, nahu), ilmu perubatan tradisional dan pelbagai lagi.
Kategori para ilmuwan juga turut tercatat dalam karangan Sejarah Melayu. Antara orang atau pelaku yang disebut berkaitan dengan ilmu ialah khatib, haji, sayyid (syed dari tanah Mekah), syeikh, mursyid, makhdum, kadi dan maulana.
“Maka makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa ke istana baginda. Maka bendahara dan segala orang besar-besar pun masuk agama Islamlah. Maka segala orang Melaka kecil besar semuanya disuruh raja masuk Islam sekalian. Maka raja pun berguru pada makhdum Sidi ‘Abdul Aziz.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 51)
“Sebermula pada masa itu kadi di Melaka Kadi Yusuf namanya, cicit pada Makhdum Sayid ‘Abdul Aziz yang mengislamkan segala orang Melaka. Maka Kadi Yusuf tiada berguru pada Maulana Abu Bakar kerana ia terlalu ‘alim. Sekali persetua Kadi Yusuf hendak pergi sembahyang Jumaat maka lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusuf akan Maulana Abu Bakar dikeliling oleh cahaya seperti sumbu dian yang dikelilingi apinya. Demikian rupanya. Maka Kadi Yusuf pun segera berlari datang menyembah pada Maulana Abu Bakar. ... Maka Kadi Yusuf pun berguru pada Maulana Abu Bakar. Maka Kadi Yusuf pun jununlah. Maka ia lalu memecat dirinya daripada kadi.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 100)
“... Maulana Abu Bakar turun dari atas kapal membawa kitab Durr Manzum...Maka Sultan Mansur pun berguru pada Maulana Abu Bakar...banyak ilmu diperolehlah baginda. Maka Sultan Mansur Syah Durr Manzum itu disuruh baginda ertikan ke Pasai.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98)
“... bertanyakan suatu masalah Segala isi syurga itu kekallah ia dalam syurga dan bagi isi neraka itu kekallah ia dalam neraka? ... Maka kata Tun Makhdum Muda “Isi syurga kekallah ia dalam syurga, isi neraka kekal dalam neraka”... kerana sabit dengan dalil Qur’an “mereka itu kekal dalam syurga selama-selamanya.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98-99)
Semua nama yang disebutkan dalam petikan di atas merupakan tokoh Islam. Para ilmuwan tersebut adalah sangat berwibawa dan pangkatnya tinggi dalam masyarakat Melayu Islam khususnya. Golongan ini juga turut memberi pelbagai nasihat kepada raja dan anak-anaknya, mengajar sultan dan orang besar-besar, mengepalai musyawarah, membantu mencapai muafakat dalam perdebatan dan konflik dan lain-lain lagi.
Dalam teks Sejarah Melayu, terdapat banyak maklumat tentang karya ilmiah dan agama yang diajarkan dan dibaca dalam masyarakat Melayu. Buku-buku tersebut berkaitan dengan ilmu agama, falsafah, fiqah, sejarah, bahasa dan sebagainya. Kitab yang sering disebutkan ialah al-Quran al-Azim dan pelbagai Surahnya. Contohnya,
... Maka belayar pula nakhoda Ismail. Berapa lamanya maka sampai kepada sebuah negeri pula Thobri (Lamri) namanya. Maka orang Thobri itu pun masuk Islam. Maka kafir pun naik ke darat membawa al-Qur’an. Maka disuruhnya baca pada orang Thobri itu surat itu. Seorang pun tiada dapat membaca dia.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 56)
Alkisah maka tersebutlah perkataan seorang pendita, Maulana Abu Ishak namanya, terlalu faham pada ilmu tasauf... Maka dikarangnya sebuah kitab dengan dua bahasa, suatu bahasa zat, kedua bahasa sifat; dinamainya Duri’l-mazlum.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 156-157)
Berdasarkan kepada beberapa pecahan nilai ilmu yang telah dipaparkan dalam Sejarah Melayu, hal ini dengan jelas menunjukkan ciri penting keagungan karya agung Melayu terletak pada ketamadunan ilmu yang dipancarkan oleh karya itu. Melaluinya, pengarang telah berjaya memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan mindanya untuk menyerap ilmu dan nilai baru, yang dipelajari daripada Islam, untuk menilai dan memperkukuh tradisi bangsanya. Mantera mula diganti dengan doa, berguru kepada orang pertapa diganti dengan berguru kepada syeikh atau makhdum, adat dan tradisi keadilan Melayu digandingkan dengan keadilan menurut hukum Allah dan pelbagai lagi. Inilah proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu
2.1 Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat.menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlwan-pahlawan kerana dengan itu dia boleh membantu mereka menewaskan musuh (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125-128).
Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara teersebut dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu, Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.
“Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku,dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?”
(Sejarah Melayu: 74)
Berdasarkan contoh petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.
2.2 Ilmu Pendukunan
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu, menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah permujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun,pawang, atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan berkaitan dengan ini:
“Sekalian orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.”
(Sulalatus Salatin: 209)
Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang memerintah Siam meminta ahli nujumnya mencari pengganti raja Kedah setelah Raja Bersiung hilang dalam perdu buluh betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti untuk mencari raja yang baru (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 129).
2.3 Ilmu Pengasih
Pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih ini adalah untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya, ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu tidak menyukainya atau orang ittu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya. Contoh ayat jampi pengasih ialah:
“Hang Nadim menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup menjadi isteri baginda.”
(Sejarah Melayu: 170)
Ilmu pengasih ini boleh dilakukan dengan dua cara, iaitu dengan menyapu bedak yang telah dijampi dengan ayat tersebut ke muka atau dengan cara mandi dengan air yang telah dijampi. Sekiranya seseorang itu menggunakan jampi ini, dia tidak boleh lalu di bawah ampaian dan tidak boleh mengerjakan maksiat seperti mencuri. Jika dilakukan juga, jampi tersebut tidak akan mujarab. Pengamal jampi ini juga tidak boleh melangkah tulang babi dan sebaik-baiknya dia hendaklah terus kepada matlamatnya. Selain untuk perkasihan, jampi ini juga boleh digunakan untuk bertemu dengan orang yang tertentu untuk tujuan baik. Misalnya ketika hendak berwawancara atau temuduga pekerjaan, meminta pertolongan atau sebagainya
3.0 Nilai Islam
Unsur Islam juga dapat dilihat daripada penyebutan dan penonjolkan tokoh-tokoh dan lama-ulama Islam. Antaranya Iskandar Zul-Karnian, yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka yang bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja-raja Melaka.
Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah, tokoh-tokoh nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Khidir. Sulalatus Salatin menceritakan pernikahan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul-Bariyah disempurnakan oleh Nabi Khidir. Mas kahwinnya sebanyak 300 ribu dinar emas (Cetera 1).
Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (TimurTengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan.Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.
Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (TimurTengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan.Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga terlihat dalam perjalanan adat-lstiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. la meliputi hal-hal seperti upacara akad nikah kahwin, dan perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raja Korban. Selain gambaran Islam juga dapat dilihat melalui adat berkhatan.
Menjadi suatu amalan kepada raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan putera mahkota. Misalnya wasiat kepada Raja Ahmad (timang-timangan Raja Hussain) (Sulalatus Salatin, hlm. 171-172) dan wasia`t Sultan Alau'd-Din Riayat Syah kepada Sultan Mahmud (Raja Mamad) (Sulalatus Salatin, hlm.186-187). Melalui wasiat, banyak didapati unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.
Unsur Islalm dalam Sulalatus Salatin juga ketara melalui penyebutan tentang kewujudan karya-karya Kesusasteraan Islam di Melaka contohnya Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikyat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh seperti Peringgi. (Sulalatus Salatin, hlm. 268-269)
Penceritaan dalam Sulalatus Salatin diselitkan dengan puisi Arab iaitu syair. Pengggunaan puisi atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut. Lebih jelas menunjukkan keupayaan orang-orang Melaka menguasai seni sastera ini dalam penulisan karya agung itu. Perkara ini jelas dipaparkan dalam peristiwa Sultan Mahmud yang melihat kecantikan Tun Fatimah. Sulalatus Salatin menceritakan hal tersebut melalui syair Arab;
Ma yarji'u al-taffu 'ainnahu 'inda ru'yatihi, Hatta yu' ada i-laiya al-taffa musytaqu,
yakni tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia, hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin bertambah dendam juga, adanya. (Sulalatus Salatin, hlm 251 )
yakni tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia, hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin bertambah dendam juga, adanya. (Sulalatus Salatin, hlm 251 )
Sulalatus Salatin juga menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana igambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu.
Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Sultan Mahmud turut belajar ilmu agama.
Kitab-kitab agama seperti Kitab Duri'l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini. Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkait ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga tergambar melalui teknik penulisannya. Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan Bismillahir-rahmanir-rahim….
Dalam mukadimah disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang menutupnya dengan ayat"Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa illaihi 'Imarji'u wa 'l-ma'ab." .Hanya pada akhir cetera ke XV sahaja diakhiri dengan ayat " Wa'llahu a'lam."
Terdapat juga struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Selain itu kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan Iain-Iain.
nilai yang penuh dengan pro dan kontra. terima kasih atas perkongsian ini. goodluck!
ReplyDeletesangat bermanfaat! terima kasihhhh👍
ReplyDeleteAlhamdulillah blog yang sangat menarik. Pengisian dan pwrkongsian yang sangatbermanfaat. Tahniah
ReplyDeleteApa yang dikongsi adalah sangat menarik. Boleh dijadikan rujukan kepada pelajar khusus yang baru belajar mengenai sulalatus salatin
ReplyDeletepenerangan isi yang cukup jelas, good job!
ReplyDelete